Bantuan untuk tiga beradik berubah apabila mereka diserang penya­kit saraf

 

KUANTAN 27 Mei – Kehidupan tiga beradik berubah apabila mereka diserang penya­kit saraf sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengharapkan bantuan orang ramai untuk meneruskan hidup.

Ainatun Nadrah Nafiah, 28, berkata, dia bersama abangnya Ahmad Ikram, 31, serta adik mereka, Ahmad Ikmal, 26, menjalani kehidupan seperti orang biasa sebelum mereka diserang penyakit itu beberapa tahun lalu.

Hanya anak kedua daripada empat beradik itu, Ahmad Fakhrolrazi, 29, tidak menerima nasib serupa dan kini bekerja di Johor.

Ainatun Nadrah yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia dise­rang penyakit itu pada usia 24 tahun.

‘‘Saya sendiri sudah setahun tidak menjalani rawatan fisiote­rapi kerana masalah pengangkutan untuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan. Bagaimanapun, saya masih berharap akan dapat meneruskan rawatan supaya dapat pulih dan bekerja seperti kawan-kawan lain,’’ katanya.

Ainatun Nadrah berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas menerima kunjungan Pembantu Tugas-tugas Khas Menteri Besar Pahang, Norbaini Abu Bakar; Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Syed Mohsin Syed Agil dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Indera Mahkota, Hamdie Basri di Sungai Soi di sini, hari ini.

Katanya, Ahmad Ikmal juga sempat bekerja sebagai juruteknik di sebuah hotel di Kuala Lumpur selama lapan bulan, namun terpaksa berhenti apabila mula mengalami penyakit itu dan kini mengambil upah membaiki telefon bimbit dari rumah untuk menambah pendapatan.

Ainatun Nadrah berkata, mereka bergantung kepada bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM400 pencen bulanan bapa mereka, Nafiah Zainal yang meninggal dunia pada 2008.

Ibu mereka, Miah Mat Jamin meninggal dunia pada 2015 juga akibat penyakit saraf.

Sehubungan itu, Ainatun Nad­rah amat berterima kasih apabila dirinya dan Ahmad Ikmal terpilih untuk ditempatkan di Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Sungai Soi di sini bermula Jumaat lalu, kerana tidak lagi perlu meminta bantuan jiran di Taman Dato Rashid di sini.

‘‘Sedih mahu meninggalkan rumah ini kerana di sini kami dibesarkan. Tapi saya merasakan kehidupan saya dan adik akan lebih terbela di sana (Kompleks Asnaf) dan berharap dapat menjalani rawatan yang sewajarnya,’’ katanya. – BERNAMA

Sementara itu, Ahmad Ikram yang merupakan anggota tentera di Kem Batu 10 di sini berkata, dia mula diserang penyakit saraf pada 2010, selepas terlibat dengan kemalangan semasa pulang dari kerja.

Katanya, sejak itu pertuturannya semakin terbatas sehingga menyebabkannya mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di ibu negara.

Ahmad Ikram berkata, dia semakin risau kerana khidmatnya akan tamat pada Februari depan, sedangkan dia menanggung isteri Subaidah Osman, 30, dan seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

‘‘Buat masa sekarang, isteri menjual burger di hadapan rumah untuk menampung kewangan kami. Saya harap ada pihak yang dapat membantu kami terutamanya selepas saya tamat perkhidmatan nanti,’’ katanya. – BERNAMA



Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.