Cara perceraian perkahwinan pasangan Islam di Malaysia

Image

PROSEDUR PERCERAIAN PERKAHWINAN ISLAM MALAYSIA

Image

Perceraian adalah perkara halal yang dibenci oleh Allah. Hari ini perceraian telah menjadi fenomena biasa.Perceraian adalah jalan terakhir dalam sesuatu perkahwinan itu.

DEFINISI PERCERAIAN
Dari segi bahasa iaitu membuka ikatan,melepaskan ikatan,pembebasan dan seumpamanya. Dari segi syarak iaitu membuka ikatan perkahwinan dengan melafazkan perkataan talaq atau cerai atau seumpamanya.

DALIL PENSYARIATAN
Hadith Rasululllah SAW bermaksud:”Sebenci-benci perkara yang halal disisi Allah ialah talaq.” (Riwayat Abu Daud,Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

RUKUN TALAQ
Terdapat 5 perkara yang menjadi rukun talaq iaitu:
Orang melafazkan talaq iaitu suami.
Tempat yang hendak dijatuhkan talaq iaitu isteri.
Berkuasa ke atas talaq dan orang yang ditalaq.
Lafaz talaq,tulisan atau isyarat yang semaksud.
Niat menjatuhkan talaq ketika melafazkan perkataan sindiran yang bermaksud talaq.

LAFAZ TALAQ
Lafaz talaq atau perceraian terbahagi kepada 2 jenis:
Lafaz talaq secara jelas(sareh) iaitu lafaz yang menunjukkan maksud perceraian dengan terang dan jelas seperti menggunakannlafaz ‘talaq’ atau ‘cerai’ dan tidak memerlukan niat.

Contohnya:”Aku ceraikan engkau dengan talaq satu atau dua atau tiga.”
Lafaz talaq secara sindiran (kinayah) iaitu lafaz yang tidak menunjukkan maksud perceraian.Ia mestilah disertai dengan niat untuk bercerai dan tidak peru kepada lafaz yang jelas(sareh).

Contohnya:”Baliklah kamu kepada ibubapa kamu” atau “Saya tak hendak kamu lagi.”

Perceraian adalah satu proses pembatalan sesuatu perkahwinan perlulah melalui cara dan saluran yang betul. Seperti mana proses pernikahan, proses perceraian juga perlu melalui proses permohonan, rundingan, keputusan mahkamah, pendaftaran perceraian oleh mahkamah.

Sebelum sesuatu percerian itu berlaku, suami isteri yang berkahwin itu akan melalui satu proses dimana semakin lama semakin jemu. Hari-hari yang berlalu akan dilalui dimana suami sibuk dengan kerjaya dan cita-cita. Dan isteri pula sibuk dgn urusan rumah tangga dan kadang-kadang ada juga yang berkerja.

Saban hari, pasangan ini akan mengalami krisis dan perbezaan pendapat. Masing-masing akan cuba mempertahankan ego masing-masing. Perasaan marah yang meluap-luap ini akan menyebabkan salah satu pasangan menuntut cerai.

Lama kelamaan, pasangan ini akan membuat keputusan untuk bercerai.

Jadi bagaimanakah proses perceraian ini dilakukan? Mengikut sumber Masjid Al-Azim Melaka.

Proses perceraian adalah seperti berikut.

1. Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Syari‘ah di mana (tempat) dia bermastautin.

2. Sebelum sesuatu permohonan cerai dikemukakan kepada Mahkamah Syari‘ah, pihak suami isteri diminta membuat pengaduan ke Bahagian Khidmat Nasihat/Rundingcara di Pejabat Agama Islam Daerah untuk diberikan rundingan terlebih dahulu.

3. Sekiranya tidak ada jalan penyelesaian untuk mereka berdamai barulah kes tersebut dipanjangkan ke Mahkamah Syari‘ah.

4. Setelah Mahkamah Syari‘ah bersidang dan membuat sesuatu keputusan mengenai perceraian pasangan tersebut, pihak Mahkamah hendaklah menghantar satu salinan keputusan permohonan tersebut kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju‘ Daerah yang berkenaan.

5. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah menyemak keputusan perceraian yang dikeluarkan oleh Mahkamah tersebut. Jika terdapat keraguan atau kesilapan teknik hendaklah dikembalikan untuk pembetulan.

6. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah menandatangani Sijil Cerai yang telah disempurnakan dan menghantar satu salinan kepada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai da Ruju` Negeri masing-masing.

7. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah merekodkan dan mendaftarkan perceraian tersebut di dalam Buku Daftar Cerai.

8. Pendaftar hendaklah menyerahkan Sijil Cerai tersebut kepada pasangan berkenaan setelah isteri tersebut tamat ‘iddahnya dan direkodkan di dalam buku daftar serahan sijil cerai.

9. Bagi kes suami yang ingin berkahwin dengan perempuan lain semasa dalam ‘iddah isterinya, maka pihak suami dikehendaki membuat permohonan berpoligami kepada Mahkamah Syari‘ah di mana tempat ia bermastautin/tinggal.

10. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah merekodkan dan mencatatkan maklumat perceraian tersebut berdasarkan keputusan Mahkamah.

Apakah dokumen yang diperlukan?

  • Mohon Runding Cara Perceraian
    ** – Salinan surat nikah.
    ** – Salinan kad pengenalan suami.
    ** – Salinan kad pengenalan isteri.
    ** – Salinan surat beranak anak-anak.
  • Mohon Runding Cara Perceraian
    ** – Kad pengenalan pemohon.

Bolehkah lafaz cerai dilakukan diluar mahkamah?

Tidak. Sebarang lafaz cerai yang ingin dibuat oleh seorang suami, hendaklah dilafazkan di hadapan Hakim Syariah dengan kebenaran Hakim berkenaan. Jika lafaz cerai dibuat di luar Mahkamah atau tanpa kebenaran Mahkamah, seorang suami boleh didenda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Hukum perceraiaan

Wajib :Jika perselisihan antara suami dan isteri tidak menemui jalan penyelesaian dan keluarga kedua-dua belah pihak telah bersetuju, mereka perlu bercerai.

Sunat :Apabila seorang suami menjatuhkan talaq ke atas isterinya kerana berkelakuan tidak baik

Makruh :Jika seorang suami menjatuhkan talak ke atas isterinya yang baik tanpa terdapat apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh isterinya itu.

Haram
:Seorang suami menjatuhkan talak kepada isterinya yang sedang dalam keadaan haid atau nifas.

Harus :Apabila tidak ada persefahaman hidup antara suami dan isteri

Jenis-jenis Penceraian

Secara teorinya,kaedah perceraian terbahagi kepada 9 jenis atau cara menurut prinsip yang berbeza:

1. Talaq
Dengan Perintah/Izin mahkamah Perceraian didalam mahkamah yang berlaku dengan izin mahkamah, setelah suami atau isteri membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah dengan mengisi borang tertentu sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai.Borang tersebut boleh didapati di mana-mana Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat suami atau isteri bermastautin.Talaq yang dilafazkan diluar mahkamah adalah satu kesalahan dan ia perlu dirujuk ke mahkamah untuk mengesahkan lafaz tersebut.
Kembali

2. Khulu'(Tebus Talaq)
Perceraian khulu’ ialah suatu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau lain-lain harta kepada suaminya. Suami juga boleh memohon khulu’ jika ia tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri.Dalam hal ini, mahkamah boleh memerintahkan suami melafazkan cerai khulu’ dan ia menjadi talaq bain-sughra.
Kembali

3. Perceraian Ta’liq
Perceraian ta’liq ialah suatu bentuk perceraian yang berlaku disebabkan terjadinya sesuatu perkaar atau lafaz yang dilafazkan oleh suami selepas akad nika. Lafaz Ta’liq hanya boleh dibuat oleh pihak suami dan ia tidak boleh ditarik balik dan berkekalan hinggalah perkara yang disyaratkan itu terjadi.
Contoh lafaz ta’liq yang digunapakai mengikut undang-undang negeri Selangor:

Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya………………. selama 4 bulan Hijrah berturut-turut atau saya dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa tersebut padahal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan apabila sabit aduannya disisi Mahkamah Syariah dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalaqlah ia dengan cara talaq khulu’.”

Seseorang isteri boleh mendapatkan perceraian mengikut syarat-syarat ta’liq yang telah dibuat oleh suami menurut surat ta’liq, atau memohon pengesahan lafaz ta’liq lain yang telah dibuat oleh suami dalam masa perkahwinan.
Kembali

4. Fasakh
Fasakh ialah pembubaran perkahwinan yang dipohon samada oleh isteri atau suami dengan kebenaran oleh hakim Mahkamah Syariah disebabkan oleh alasan-alasan yang dibenarkan oleh hukum syarak iaitu:
Suami tidak diketahui(ghaib) selama tempoh melebihi satu tahun.
Suami cuai menyediakan peruntukan nafkah selama tiga bulan atau lebih.
Suami dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.
Suami tidak menunaikan nafkah batin selama tempoh satu tahun.
Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak mengetahui perkara itu sebelumnya.
Suami telah gila selama tempoh dua tahun,mengidap penyakit kusta, vitiligo, atau penyakit kelamin yang berjangkit.
Isteri yang telah dikahwinkan oleh walinya sebelum mencapai usia 16 tahun, lalu menolak perkahwinan itu sebelum berumur 18 tahun dan masih belum disetubuhi suaminya.

Suami telah menganiaya isteri dengan cara:
menjadikan isteri hidup menderita
berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji
memaksa isteri hidup secara lucah
melupuskan harta isteri atau menyekat hak isteri terhadap hartanya
menghalang isteri daripada menunaikan kewajipan dan amalan agama
tidak adil kepada isteri-isteri(poligami)
Suami dengan sengaja enggan meyetubuhi isteri dalam tempoh empat bulan.
Perkahwinan tanpa izin isteri atau izinnya tidak sah disebabkan oleh paksaan,kesilapan, ketidaksempurnaan akal,atau alasan lain yang diakui oleh Hukum Syarak.
Apa-apa alasan yang diiktiraf sah bagi membubarkan perkahwinanan menurut hukum syarak.

Jenis-jenis Talaq
Talaq dapat dikategorikan seperti berikut:

Talaq Raj’ie
Iaitu talaq satu atau dua yang dilafazkan oleh suami. Suami boleh kembali (rujuk) kepada isterinya dalam tempoh iddah tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin (mahar) yang baru.

Talaq Bain
Iaitu perceraian yang tidak boleh dirujuk oleh suami dalam tempoh iddah isteri,melainkan dengan akad dan mas kahwin (mahar) yang baru. Ia boleh dibahagikan kepada 2 bahagian:

Talaq bain Sughra (kecil).
Iaitu apabila suami menceraikan isteri dengan talaq raj’ie samada satu atau dua kemudian tidak merujuknya hingga tamat tempoh iddah. Begitu juga perceraian yang berlaku sebelum persetubuhan, perceraian denagn sebab ‘ila,fasakh dan khulu’ (tebus talaq) dan pertukaran agama suami isteri.

Talaq Bain Kubra (besar).
Iaitu talaq tiga (talaq raj’ie atau talaq bain sughra) yang telah berlaku sebanyak tiga kali. Apabila berlakunya talaq tiga, maka suami tidak boleh kembali mengahwini isterinya biasa melainkan setelah syarat berikut dipenuhi:

Setelah selesai iddah isteri itu.
Bekas isteri berkahwin dengnan lelaki lain.
Suami kedua menyetubuhi bekas isteri itu.
Suami kedua menceraikan si isteri.
Selesai iddah dari suami yang kedua itu.

Talaq (Faraq) Bain Muabbad (kekal)
Iaitu pembubaran perkahwinan yang terjadi sebagai implikasi daripada proses li’an, dan tidak ada peluang lagi bagi suami isteri untuk berkahwin semula melalui apa cara sekali pun, selama-lamanya. Ia hanya berlaku dengan cara li’an.

Talaq Sunnah (Mengikut Sunnah)
Iaitu talaq yang digalakkan oleh syarak dan menurut adab yang telah ditentukan seperti mentalaq isteri yang pernah disetubuhi ketika sedang suci dan belum berlaku persetubuhan ketika suci tersebut,dan talaq yang berlaku sekali lalu diikuti dengan rujuk dalam tempoh iddahnya, kemudian talaq kedua lalu diikuti dengan rujuk. Talaq sebegini hukum asalnya diharuskan dan menjadi sunat jika dilakukan dengan alasan yang munasabah di sisi syarak dan ia dikira sah.

Talaq Bid’ah (Tidak Mengikut Sunnah)
Iaitu talaq yang tidak digalakkan oleh syarak dan tidak menurut adab yang ditentukan.Contohnya mentalaqkan isteri dengan talak tiga sekaligus, atau mentalaqkan secara berturut-turut 3 kali dalam satu majlis sebelum sempat tamat iddah bagi setiap satu talaq, atau mentalaqkan ketika keadaan haid atau nifas atau ketika masa suci tetapi telah disetubuhinya.
Ijma’ ulamak telah menyatakan bahawa talaq bid’ah haram dilakukan dan pelakunya (suami) adalah berdosa.Namun jumhur ulamak menyatakan bahawa talaq bid’ah ini tetap jatuh.

Iddah Talaq
Iddah yang disebabkan oleh perceraian.

Iddah Wafat
Iddah bagi seorang isteri yang kematian suaminya, iddahnya adalah empat bulan sepuluh hari.

Iddah Hamil
Iddah bagi isteri yang diceraikan semasa beliau sedang hamil. Iddah isteri yang hamil ialah sampai beliau melahirkan anak.

Iddah Kehilangan suami
Bagi seorang isteri yang kehilangan suami dan tidak mengetahui di mana suaminya berada, iddah isteri tersebut adalah empat tahun lamanya, dan setelah cukup empat tahun maka hendaklah dia beriddah lagi selama empat bulan sepuluh hari.

Kesan buruk perceraiaan

Kesan-kesan Penceraian

Islam tidak menggalakkan perceraian kerana ia akan mengakibatkan implikasi dan permasalahan yang besar disebabkan oleh perpisahan tersebut. Berbagai permasalahan akan timbul apabila berlaku perceraian di antara suami dan isteri.

Sebahagian dari kesan-kesan perceraian adalah :
Kesan emosi terhadap pasangan
Setiap pasangan yang menghadapi pergolakan rumahtangga pasti akan merasakan tekanan-tekanan perasaan seperti marah, sedih, rasa bersalah, putus asa dan sebagainya. Tekanan perasaan ini bukan hanya menganggu emosi dan jiwa individu tersebut, tetapi ia juga akan mewujudkan implikasi dan kesan yang negatif terhadap keluarga, dan mereka yang terdekat.

Dua Tanggungan
Bagi pasangan yang telah berpisah, mereka juga akan dibebani dengan tanggungjawab dan peranan yang bertambah;sebagai terpaksa menjadi ibu/bapa tunggal dan harus mencari nafkah.

Kesan Terhadap Anak
Dalam perceraian, anak-anak menjadi mangsa terutama jiwa dan perasaan mereka. Mereka kurang mendapat kasih sayang, perhatian dan bimbingan daripada ibu bapa. Pasangan yang ingin berpisah perlu memberikan tumpuan yang mendalam terhadap kesan-kesan yang berlaku kepada anak-anak mereka.

Prosedur permohonan salinan surat perakuan cerai

Surat Perakuan Cerai adalah antara dokumen perkahwinan yang penting bagi individu yang telah bercerai. Oleh yang demikian ia perlu disimpan di tempat yang selamat.

Namun begitu, sekiranya berlaku kahilangan akibat bencana atau musibah tidak dapat dielakkan, salinan dokumen perceraian yang baru boleh dipohon di Pejabat Agama Islam Daerah(PAID).

Sehubungan dengan itu, laman ini menyediakan Borang Permohonan Salinan Surat Perakuan Cerai secara online bagi membantu dan memudahkan individu yang bercerai di Selangor, memohon salinan surat perakuan cerai yang baru. Pemohon boleh mengisi dan menghantar borang tersebut secara online tanpa perlu mengambil borang di PAID.

Selain itu, laman ini juga turut menyediakan satu senarai semak dokumen-dokumen yang diperlukan oleh individu tersebut semasa berurusan di PAID.



Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.